ANAK adalah anugerah yang sangat bernilai kepada pasangan suami isteri, kerana dengan kelahirannya menambahkan kasih sayang seisi keluarga. Lebih penting, anak mewarisi keturunan, sekali gus menjadi generasi pelapis selepas ibu bapanya kembali bertemu Allah.
Mereka juga akan mewarisi apa yang kita tinggalkan serta menyambung kehidupan dan tamadun manusia. Mereka akan menjadi khalifah di atas muka bumi ini dan dengan sebab itu, ada orang menggelar anak kecil dengan panggilan ‘the little caliph’ (khalifah kecil).
Dalam Islam, anak adalah harta paling berharga dimiliki seseorang selepas iman kepada Allah dan Rasul-Nya. Anak juga adalah satu faktor yang mendekatkan diri kepada Allah dan rahmat-Nya seperti ditegaskan dalam satu hadis di riwayatkan Ahmad, Bukhari dan Muslim. “Anak-anakmu adalah penduduk kecil syurga.”
Anak kecil bukan saja memerlukan penjagaan rapi, malah kasih sayang ibu bapa. Sifat ini melahirkan satu tindak balas dalam jiwanya kerana Nabi s.a.w ada bersabda yang di riwayatkan Ibn Asakir dan Suyuthi, bermaksud: “Sesiapa yang mempunyai anak hendaklah dia berlemah lembut dengan nya.”
Nabi s.a.w sendiri sangat mengasihi anak. Baginda menyifatkan anak dengan pelbagai kemuliaan, seperti bau dari syurga, malah sebagai penghalang daripada penurunan azab, sebagaimana dinyatakan dalam hadis diriwayatkan Suyuthi:
“Kalaulah tidak kerana hamba Allah yang rukuk dan anak yang menyusu dan binatang ternakan yang ada, nescaya sudah turun azab seksa ke atas kamu.”
Malah, anak adalah faktor kemuliaan dan keagungan ibu bapa seperti dinyatakan dalam hadis, bermaksud: “Tidak ada anak di dalam sesebuah keluarga melainkan mulialah keluarga itu.” (Hadis riwayat Tabrani).
Tetapi mutakhir ini, ada ibu bapa yang tidak mengasihi anak mereka, malah tergamak meninggalkan anak mereka tanpa memikirkan nasib yang bakal dialami. Lebih teruk ada yang sanggup membuang anak di tepi jalan, parit dan sungai, langsung tidak membayangkan sifat belas kasihan.
Apakah sifat dan tindakan manusia sebegini mencerminkan budaya masyarakat Arab zaman jahiliah dulu, yang bersikap zalim terhadap kanak-kanak apabila sanggup menanam anak mereka?
“Dan apabila anak perempuan yang ditanam hidup-hidup ditanya, dengan dosa apakah ia dibunuh?” (at-Takwiir: 8-9)
“Mengapa tidak? Pada zaman jahiliah dulu mereka membunuh anak perempuan saja, malah menanamnya di timbunan pasir, tetapi sekarang tidak kira anak itu perempuan atau lelaki, dibuang serta dibiarkan mati begitu saja, malah ada yang mati di dalam parit, longkang dan sungai,”
Islam amat menghormati nyawa seseorang manusia, sama ada ia masih di dalam janin, usia bayi atau sudah dewasa, semuanya perlu dipelihara dan dihargai. Sebarang pembunuhan tanpa hak dilarang sama sekali dan dikenakan hukuman berat.
Baginda s.a.w ada bersabda, maksudnya: “Dalam membunuh janin wajib kifarah (denda) hamba lelaki atau perempuan.” (Muttafaqun Alaih)
“Sesiapa yang membunuh seseorang bukan kerana hukuman ke atasnya kerana membunuh orang lain atau kerana melakukan kerosakan di muka bumi, maka sesungguhnya ia membunuh semua manusia” (an-Nisa’: 32)
Allah mengharamkan pembunuhan terhadap orang lain dan mengharamkan juga perbuatan membunuh diri sendiri. Malah, Islam juga mengharamkan perbuatan mencederakan orang lain atau mencederakan diri sendiri.
Gejala buang bayi makin menjadi-jadi, lebih-lebih lagi dengan kehidupan dan pergaulan muda-mudi yang terlalu bebas. Bayi dibuang kononnya sebagai jalan keluar bagi kemelut masalah yang dihadapi atau sekurang-kurangnya bagi menutup malu, sedangkan sebaliknya ia terus mengundang masalah.
“Anak itu tidak berdosa, tidak bersalah, tidak hina, malah tidak membawa sial atau majal kepada ibu bapa dan ke luarganya, cuma dia lahir daripada persetubuhan haram. Mereka yang salah adalah ibu bapanya, bukannya dia, tetapi kenapa dia yang menjadi mangsa?
“Sepatutnya anak itu dijaga sebaik-baiknya, diberikan kasih sayang secukupnya sebagai penebus kepada keterlanjuran terbabit dengan persetubuhan haram dan selepas itu kahwinlah di samping sama-sama memberikan kasih sayang kepada anak terbabit.
No comments:
Post a Comment