Thursday, 1 March 2012

Ingatlah Umat Manusia

Wahai sekelian umat Muhammad s.a.w. ketahuilah oleh mu bahaya dari Alam Roh lagi kita semua telah mengikat janji setia dengan Allah di mana kita telah berjanji tidak akan lalai, tidak akan syirik kepada Allah dan kita telah membuat pengakuan tiada Tuhan yang di sembah melainkan Allah.

Allah berfirman dalam surah Al-A'raaf ayat 172, 173 & 174.
Yang bermaksud: Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka, dan Ia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Ia bertanya dengan firmanNya): "Bukankah Aku tuhan kamu?" Mereka semua menjawab: "Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi". Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: "Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini". Atau supaya kamu tidak mengatakan:" Sesungguhnya ibu bapa kamilah yang melakukan syirik dahulu sedang kami ialah keturunan (mereka) yang datang kemudian daripada mereka. Oleh itu, patutkah Engkau (wahai Tuhan kami) hendak membinasakan kami disebabkan perbuatan orang-orang yang sesat itu?" Dan demikianlah Kami menjelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu (supaya nyata segala kebenaran), dan supaya mereka kembali (kepada kebenaran).

Allah berfirman dalam surah Al-Mu'minuun ayat 155.
Yang bermaksud: "Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) sahaja dengan tiada sebarang hikmat pada ciptaan itu? Dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada Kami?"

Allah berfirman dalam surah Al-Baqarah ayat 30.
Yang bermaksud: Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): "Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?". Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya".

Allah berfirman dalam surah Ar-Ruum ayat 30.
Yang bermaksud: (Setelah jelas kesesatan syirik itu) maka hadapkanlah dirimu (engkau dan pengikut-pengikutmu, wahai Muhammad) ke arah ugama yang jauh dari kesesatan; (turutlah terus) ugama Allah, iaitu ugama yang Allah menciptakan manusia (dengan keadaan bersedia dari semulajadinya) untuk menerimanya; tidaklah patut ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu; itulah ugama yang betul lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.

Hadis Rasulullah s.a.w. : Tiap-tiap yang lahir dimuka bumi semuanya lahir bersih (Fitrah). Maka peranan ibubapa sajalah yang memnentukan untuk membentuknya.


INGATLAH WAHAI MANUSIA :

Allah berfirman dalam surah Al-Insyiqaaq ayat 6.
Yang bermaksud: Wahai manusia! Sesungguhnya engkau sentiasa berpenat-lelah (menjalankan keadaan hidupmu) dengan sedaya upayamu hinggalah (semasa engkau) kembali kepada Tuhanmu, kemudian engkau tetap menemui balasan apa yang engkau telah usahakan itu (tercatit semuanya).

Rasulullah s.a.w bersabda: Umur umatku hanyalah 60 hingga 70 tahun.
Diriwayatkan daripada Anas r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah bersabda: Anak Adam menjadi semakin tua, tetapi ada dua perkara daripadanya yang akan menjadikannya semakin muda iaitu: Tamak kepada harta dan tamak kepada umur.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Janganlah kamu bercita-cita supaya cepat mati dan janganlah kamu berdoa supaya mati sebelum kematian itu sendiri datang kepadamu. Sesungguhnya apabila kamu mati, akan terputuslah segala amalan kamu. Sebaliknya apabila dipanjangkan umur seorang mukmin bererti bertambahlah kebaikannya.

Umar Ibnul Khattab r.a berkata: Metelamat kami tidak boleh nampak dengan mata kasar. Tetapi boleh kita rasa dan boleh kita lihat dengan hati (ilmu). Ilmu itu cahaya, cahaya yang di suluh oleh Allah dan bukan ilmu yang banyak riwayat.

Allah berfirman dalam surah Asy-Syura ayat 13.
Yang bermaksud: Allah telah menerangkan kepada kamu - di antara perkara-perkara ugama yang Ia tetapkan hukumnya - apa yang telah diperintahkanNya kepada Nabi Nuh, dan yang telah Kami (Allah) wahyukan kepadamu (wahai Muhammad), dan juga yang telah Kami perintahkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Musa serta Nabi Isa, iaitu: "Tegakkanlah pendirian ugama, dan janganlah kamu berpecah belah atau berselisihan pada dasarnya". Berat bagi orang-orang musyrik (untuk menerima ugama tauhid) yang engkau seru mereka kepadanya. Allah memilih serta melorongkan sesiapa yang dikehendakiNya untuk menerima ugama tauhid itu, dan memberi hidayah petunjuk kepada ugamaNya itu sesiapa yang rujuk kembali kepadaNya (dengan taat).

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Aku diarahkan supaya memerangi manusia sehinggalah mereka mengucapkan Dua Kalimah Syahadat iaitu: mendirikan sembahyang serta mengeluar zakat. Sesiapa yang melakukannya bererti dia dan hartanya bebas daripada aku kecuali dibenarkan oleh syariat Islam dan segala-galanya terserahlah kepada Allah s.w.t untuk menentukannya

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Aku diarahkan supaya memerangi manusia sehinggalah mereka mengucapkan Dua Kalimah Syahadat. Sesiapa yang mengucapkannya bererti dia dan hartanya bebas daripada aku kecuali dibenarkan oleh syariat dan segala-galanya terserahlah kepada Allah s.w.t untuk menentukannya

No comments:

Post a Comment